Thursday, December 22, 2011

JPA, CUEPACS Berunding Hari Ini Selesaikan SBPA

Tags

Perbincangan selesai isu skim SBPA sebelum dapat dilaksana 1 Januari ini
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan rundingan hari ini bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.


Difahamkan, perbincangan itu akan menentukan sama ada SBPA ditangguhkan ke satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak atau sebaliknya.
JPA dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini petang semalam mengesahkan perbincangan itu akan diadakan hari ini.

“Berikutan terlalu banyak pertanyaan diterima mengenai status pelaksanaan SBPA, adalah dimaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti ditetapkan.
“JPA bersama CUEPACS akan mengadakan perbincangan esok (Jumaat) bagi membincangkan isu dibangkitkan CUEPACS,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, serta beberapa pegawai kesatuan sekerja yang mewakili kira-kira 1,4 juta penjawat awam mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pejabat Perdana Menteri, di sini, berhubung isu sama.
Bercakap pada sidang media di Serdang selepas pertemuan itu, Omar berkata Perdana Menteri mengarahkan diadakan perundingan segera bagi menyelesaikan isu itu.

“Rundingan berkenaan antara lain adalah CUEPACS dan JPA menentukan sama ada pelaksanaan SBPA diteruskan mulai 1 Januari depan atau satu tarikh baru akan ditetapkan. 

“Perdana Menteri berharap semua pertikaian dan kekeliruan berhubungan SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan persetujuan kedua-dua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan,” katanya.

Berikutan itu, Omar berkata beliau akan mengetuai delegasi CUEPACS untuk mengadakan pertemuan dengan wakil JPA di sini, hari ini (Jumaat) bagi menyelesaikan isu pelaksanaan SBPA.

Sementara itu, Pemuda UMNO berharap rundingan antara JPA dan CUEPACS hari ini dapat menyelesaikan isu SBPA di samping menjamin keadilan serta ketelusan buat 1.4 penjawat awam seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata rundingan terbabit dapat memastikan keadilan dan ketelusan dalam SBPA serta semua persoalan dibangkitkan dapat diselesaikan.

“Saya berharap rundingan dilaksanakan dengan berhemah agar isu dibangkitkan dapat diselesaikan segera bagi menepati sasaran dan iltizam kerajaan untuk membina warga kerja awam cekap, produktif serta mampu merealisasikan perancangan transformasi negara,” katanya. 
(sumber dari sini)